Sunday, January 1, 2012

Hati dan Al-Qur'an

      Assalamualaikum wrbth semua.., Insya Allah, pada kali ini, ana ingin mengajak diri ana, dan kawan-kawan sekalian untuk kita sama-sama menghayati dan memahami apa yang tersirat dan tersurat di dalam ayat ini. Insya Allah..apa yang ana lihat daripada ayat ini ialah ia menerangkan tentang jiwa dan al-Qur'an. Perkongsian ana pada kali ini, ana rujuk di dalam buku Fizilalil Qur'an karya Syed Qutb.

Jom kita tadabbur sama-sama!  

 Satu kenyataan yang menggoncangkan hati ketika al-Qur'an menerangkan kesan al-Qur'an pada batu yang keras lagi kuat apabila diturunkan ke atasnya. Sepertimana yang dinyatakan di dalam ayat ini:









21. "Dan sekiranya Kami turunkan al-Qur'an ini di atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu tunduk patuh dan pecah terbelah kerana takut kepada Allah. Itulah perumpamaan-perumpamaan yang kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir."

     Gambaran ini menerangkan satu hakikat yang benar, kerana al-Qur'an ini mempunyai berat, kekuatan dan kesan unik yang menggoncangkan siapa sahaja yang menerima hakikatnya. Contoh yang dapat kita sama-sama lihat ialah Sayyidina Umar Al-Khattab juga telah mengalami kesan berat itu ketika beliau mendengar seorang membaca surah at-Tur, ayat 1-8:

1-8. "Demi bukit Thur, demi kitab yang ditulis pada lembaran yang terbuka, demi Baitul-Ma'mur, dan demi bumbung yang tinggi, dan demi laut yang meledakkan api. Sesungguhnya azab Tuhanmu tetap berlaku, Tiada seorangpun yang dapat menolaknya."

     Ketika itu, beliau terpaksa bersandar di dinding-dinding, kemudian pulang menderita kesakitan sehingga beliau dilawati orang selama sebulan. Subhanallah...., betapa hebatnya kekuasan al-Qur'an terhadap jiwa manusia(yang meyakini akan hakikat Kalamullah).

     Pada detik-detik terbukanya hati manusia menerima sesuatu dari hakikat al-Qur'an, ia akan menggigil dan  gementar. Perubahan-perubahan akan berlaku di dalam hatinya samalah dengan perubahan-perubahan yang berlaku di alam benda, apabila jisim menerima kesan daya tarikan magnet ataupun arus alektrik, atau yang lain-lain.

    Allah yang menciptakan gunung-ganang dan menurunkan al-Qur'an telah berfirman; "Sekiranya Kami turunkan al-Qur'an ini di atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu tunduk patuh dan pecah terbelah kerana takut kepada Allah." Orang-orang yang telah mengalami sesuatu dari kesan sentuhan al-Qur'an di dalam hati mereka tetap merasakan kebenaran hakikat ini, iaitu satu perasaan yang tidak dapat diungkapkan dengan tepat melainkan oleh ayat al-Qur'an yang terang dan menarik ini.

    21. "Itulah perumpamaan-perumpamaan yang kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir."

Dan memang wajar perumpamaan-perumpamaan itu menyedari hati menusia untuk meneliti dan berfikir.

Wallah hu'a'lam.


No comments:

Post a Comment